Friday, January 29, 2010

Tahap praktis kerja sosial di Malaysia pada hari ini

Apakah itu kerja sosial? Bukan semua individu mengetahui tentang kerja sosial itu sendiri, ia merupakan salah satu daripada pelbagai bentuk khidmat yang dapat ditawarkan oleh masyarakat dalam membantu anggotanya memenuhi pelbagai keperluan hidup dan meneruskan tanggungjawab di samping meningkatkan kualiti hidup secara menyeluruh. Tidak dinafikan kerajaan memandang serius terhadap kebajikan rakyat, tetapi bagaimana pula peranan masyarakat dalam membantu kerajaan? Masyarakat Malaysia umumnya mampu bertindakbalas terhadap cabaran tersebut dengan memperluas serta mempertingkatkan lagi perkhidmatan sosial yang sedia ada. Pendidikan kerja sosial penting demi menyumbang ke arah memperbaiki taraf dan kualiti hidup, di samping meningkatkan kebajikan serta kesejahteraan sosial untuk menjayakan wawasan negara.

Kepentingan praktis kerja sosial di Malaysia dalam era pasca industri, masyarakat terpaksa membuat penyesuaian dengan pelbagai situasi baru seperti perbezaan agama, bidang pekerjaan, status, taraf pendidikan, perbezaan budaya dan sebagainya. Konsep Satu Malaysia memberi tumpuan kepada pembangunan dalam menjadi sebuah negara maju dan akan diseimbangkan dengan keperluan rakyat tanpa mengira kaum. Misi ini adalah untuk menyahut cabaran Perdana Menteri kita iaitu untuk mengubah persepsi segelintir lapisan rakyat yang mindanya terkongkong dengan cara pemikiran lama. Rakyat perlu saling bantu membantu tanpa mempersoalkan status kaum masing-masing untuk memantapkan lagi perpaduan rakyat di Malaysia. Prinsip dan nilai-nilai persaudaraan dikalangan rakyat Malaysia adalah bersifat majmuk. Oleh hal yang demikian, dalam usaha membangun negara, pelbagai isu dan masalah sosial perlu dihadapi dan ditangani bersama secara bijak serta berhemah.

Mana-mana kumpulan masyarakat dalam Malaysia tidak perlu menganggap bahawa mereka adalah warga negara kelas dua dalam negara. Malah setiap anak Malaysia adalah potensi modal insan yang penting kepada negara. Kebiasaannya praktis kerja sosial ini boleh melibatkan individu mahupun berkumpulan. Bantuan orang perseorangan juga diperlukan bagi membantu masyarakat yang kurang kemampuan dan memerlukan bantuan. Peranan NGO bergiat dan membangunkan program dalam menyediakan kemudahan berterusan untuk kumpulan terpinggir yang melibatkan gejala sosial. Contohnya, PEMADAM ditubuhkan oleh rakyat bagi membantu rakyat menangani gejala dadah yang kian meningkat di Malaysia.

Bagi menggalak dan memperkukuhkan lagi kerjasama antara etnik dan meningkatkan persefahaman di kalangan komuniti. Semangat gotong-royong dan komitmen yang tinggi untuk mencapai perpaduan dalam masyarakat yang berbilang etnik dan budaya akan dipupuk melalui pelbagai program. Di kawasan bandar, lebih banyak Jawatankuasa Rukun Tetangga akan ditubuhkan dan skop aktivitinya akan diperluaskan lagi meliputi golongan muda melalui program Rakan Muda. Usaha yang lebih giat perlu dilaksanakan oleh jawatankuasa tersebut untuk menggalakkan penyertaan masyarakat dan memupuk hidup berjiran serta membantu mengurangkan jenayah di kawasan perumahan. Kerja Sosial berkumpulan seperti ini memerlukan pengorbanan masa, tenaga, wang ringgit serta material. Walaubagaimanapun nilai kesukarelawan itu sendiri perlu ada dalam diri setiap individu.

Saranan untuk menjadikan rakyat yang mempunyai 'mentaliti kelas pertama bertaraf dunia' merupakan suatu hasrat yang baik dan maju ke hadapan. Dalam dunia globalisasi tanpa sempadan dan teknologi canggih ketika ini kita harus berusaha mencapai matalamat itu untuk mengapai kemajuan dan bersaing ke peringkat antarabangsa. Walaupun ia bukan suatu yang mudah tetapi mahu tidak mahu kita harus memulakan usaha untuk mencapainya. Untuk sampai ke tahap itu, di dalam komuniti yang ramai merangkumi berbagai peringkat lapisan masyarakat. Ia bukannya mudah dan sudah tentu akan melalui proses jangka masa yang panjang serta memerlukan perancangan yang rapi.






No comments:

Post a Comment